51 masjid, surau kritikal perlu dibaiki

masjid surau kritikal

MOHD. FARED ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Fuad (BN-Bukit Naning) pada Sidang Dewan DUN Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 14 masjid dan 37 surau di seluruh negeri ini telah dikenal pasti dan diklasifikasikan sebagai kritikal bakal dibaik pulih dengan anggaran kos bernilai RM4.7 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, peruntukan tersebut diambil daripada Tabung Pembangunan Masjid dan Surau Negeri Johor yang diwujudkan pada 2020.

Menurut beliau, antara objektif tabung berkenaan adalah memelihara dan mempertingkat keadaan fizikal serta infrastruktur masjid dan surau kariah yang diluluskan kerajaan negeri.

“Bagi tahun 2025 sehingga kini, jumlah kutipan yang diperolehi adalah RM1,891,425 dimana sebahagian besar sumbangan adalah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan orang ramai.

“Manakala Tabung Wakaf Rakyat Johor yang ditubuhkan pada tahun 2016 bagi pembangunan wakaf negeri Johor, wakaf tunai, ekonomi dan kesihatan telah menyiasat kutipan sebanyak RM12 juta setakat tahun lalu,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Fuad Tukirin (BN-Bukit Naning) berhubung kerja-kerja baik pulih masjid dan surau rosak termasuk di Masjid Al-Redzuan Kampung Sri Dalam yang telah mengalami kerosakan struktur ketika sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Fared, antara inisiatif yang telah dilaksana menggunakan wang tabung berkenaan termasuklah pembinaan sebuah masjid di Kampung Melayu Bukit Batu, Kulai; baik pulih masjid dan surau sekolah, membeli van jenazah serta program pembangunan pendidikan dan intervensi di sekolah-sekolah agama. – https://amiminerals.org/