BANDAR GAZA – Beberapa buah lori bantuan pertama memasuki Gaza selepas hampir tiga bulan sekatan menyeluruh dikenakan Israel terhadap makanan, ubat dan bekalan asas lain, lapor akhbar Arab News semalam.
Lima lori membawa makanan bayi dan bantuan lain yang amat diperlukan memasuki wilayah diduduki lebih dua juta rakyat Palestin itu melalui lintasan Kerem Shalom, demikian menurut organisasi Israel yang bertanggungjawab menyelaras bantuan ke Gaza, COGAT.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, keputusan untuk menyambung semula bantuan asas terhad ke Gaza dibuat selepas sekutu-sekutunya memberitahu bahawa mereka enggan menyokong serangan ketenteraan yang diperbaharui jika kelaparan berlaku.
Ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher berkata, kumpulan lori pertama itu bagaikan ‘setitis dalam lautan bagi apa yang diperlukan segera’.
Beliau berkata, tambahan empat lori PBB telah dibenarkan memasuki Gaza, berkemungkinan mulai hari ini.
Fletcher menambah, memandangkan keadaan huru-hara di Gaza, PBB menjangkakan bantuan itu berisiko dirompak atau dicuri.
Ia menjadi masalah yang semakin meningkat berikutan sekatan berterusan Israel dan sumber semakin terhad.
Beliau dalam pada itu menggesa Israel untuk membuka beberapa lintasan di utara dan selatan Gaza bagi membenarkan aliran bantuan tetap.
Israel pada hujung minggu lalu melancarkan gelombang serangan baharu darat dan udara di seluruh Gaza, manakala tentera mengarahkan penduduk di bandar kedua terbesar di Gaza, Khan Younis supaya berpindah. – AGENSI