Houthi kenakan sekatan ke atas pelabuhan Israel

HOUTHIIII scaled

RAKYAT Yemen berarak sebagai tanda solidari bersama penduduk Palestin di Sanaa, 16 Mei lalu. – AFP

SANAA – Pemberontak Houthi di Yemen mengatakan kelmarin bahawa mereka akan mengenakan ‘sekatan laut’ ke atas pelabuhan Haifa di Israel sebagai tindak balas terhadap peningkatan perang Gaza oleh Tel Aviv.

“Kami akan mula berusaha menguatkuasakan sekatan laut ke atas pelabuhan Haifa.

“Semua syarikat dengan kapal yang berada atau menuju ke pelabuhan Haifal dengan ini dimaklumkan bahawa mulai dari masa pengumuman ini, pelabuhan yang disebutkan telah dimasukkan ke dalam senarai sasaran kami,” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree.

Menurutnya, langkah itu sebagai tindak balas kepada peningkatan permusuhan kejam oleh Israel terhadap rakyat Yemen dan Gaza.

“Serangan ke atas Israel akan berhenti sebaik sahaja permusuhan ke atas Gaza berakhir dan sekatan ditarik balik,” tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri  Benjamin Netanyahu mengumumkan akan menguasai seluruh Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada serangan yang dipertingkatkan terhadap Hamas.

Puak Houthi yang disokong Iran kerap melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel sejak perang Gaza meletus pada Oktober 2023.

Walaupun gencatan senjata dipersetujui dengan Amerika Syarikat pada bulan ini, militia Houthi berikrar akan terus membedil Israel sebagai solidariti dengan rakyat Palestin. – AFP