Pamela dibenar mula semakan kehakiman cabar waran tangkap

WhatsApp Image 2025 05 05 at 5.57.05 PM

Pamela

KUALA LUMPUR – Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang, dibenar memulakan semakan kehakiman bagi mencabar waran tangkap dan larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Hakim Mahkamah Timggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas mendapati terdapat isu yang perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah.

Semasa prosiding hari ini, Datuk Malik Imtiaz Sarwar selaku pemohon mewakili Pamela manakala SPRM dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd. Faisal Md. Nor selaku responden.

Sebelum ini, polis berkata siasatan dalam kes kehilangan Pamela tertumpu ke arah suaminya iaitu, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kes masih lagi sedang disiasat dengan mengambil kira kemungkinan individu lain turut terlibat sebagai suspek.

Ujarnya, setakat ini polis telah merakam sebanyak 16 percakapan termasuk suami mangsa dan saksi-saksi penting lain.

Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM, Putrajaya sekitar jam 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang pada 9 April lalu.

Misteri kehilangan wanita itu menyebabkan ahli keluarganya risau mengenai ke­selamatannya ekoran wanita itu langsung tidak dapat dihubungi atau membalas mesej melalui aplikasi telefon bimbit.

Difahamkan, Pamela bersama suaminya dalam proses penceraian yang rumit membabitkan harta bernilai tinggi.

Menurut peguam, Datuk N. Sivananthan, Pamela dan suaminya juga sedang disiasat oleh SPRM berkaitan kes penggubahan wang haram.

Untuk rekod, Thomas Hah merupakan pengasas sebuah syarikat konglomerat meliputi pengurusan hartanah, perladangan, perhutanan, pelaburan, dan perkapalan.

Kesemua entiti syarikat itu yang bertapak di Miri, Sarawak didapati melabur dalam pelbagai pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Australia, Papua New Guinea, China, dan New Zealand.- https://amiminerals.org/