BACHOK – Salah seorang daripada empat suspek yang memakai purdah menyasarkan untuk menyimbah asid pada muka pemilik spa dan salun kecantikan dalam kejadian di premisnya Beris Kubur Besar di sini kelmarin.
Suami mangsa, Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, isterinya, Nor Faziera Muda ,27, sempat mengelak simbahan asid itu sebelum cecair tersebut terkena pada bahagian belakangnya.
Menurutnya, berdasarkan cerita isterinya, salah seorang suspek memegang termos yang berisi cecair itu sebelum menyimbah ke arah mangsa.
“Memang suspek sasarkan untuk simbah asid itu ke muka isteri. Dia sempat mengelak dan cecair itu terkena bahagian belakang dan ada lebihan asid meleleh pada lengannya.
“Mengikut cerita isteri, dua suspek yang berpurdah itu berada di depan pintu dan tangan salah seorang suspek yang berada di belakang bertindak menyimbah asid itu.
“Nor Faziera terus menelefon saya memaklumkan keadaannya sebelum ada orang ramai yang membawanya ke klinik kesihatan berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di pekan Beris Kubur Besar di sini hari ini.
Muhammad Syahrul Ikhwan memberitahu, isterinya tidak henti-henti menangis dan mengadu sakit akibat bahang asid itu semasa dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian malam kelmarin.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang pemilik sebuah spa dan salun kecantikan cedera pada lengan selepas disimbah cecair yang dipercayai asid oleh tiga individu termasuk dua wanita yang tidak dikenali semasa berada di tingkat atas premisnya di Beris Kubur Besar di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa yang masih memakai telekung selepas menunai solat maghrib berada di dalam kedainya bersama seorang anak.
Saksi kejadian yang merupakan peniaga berhampiran kawasan itu, Izati Aziz, 20, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar beberapa kali jeritan mangsa meminta pertolongan. – https://amiminerals.org/