Selagi Tak Mati, Patah Tangan Selagi Itu Terus Berjuang – Azlan

Pemain Malaysia, Mohamad Azlan Alias mengalami kecederaan ketika beraksi dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan di Kejohanan ASTAF Sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Iteenews) — Pemain apit kanan negara Mohamad Azlan Alias sanggup mengetepikan kecederaan tangan terseliuh dialami pada aksi final acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 biarpun menyaksikan Malaysia kecundang0-2 kepada seteru tradisi Thailand, semalam.

Tindakan itu, biarpun menjejaskan rentak permainan regu pertama, keputusan yang diambil itu untuk tidak mahu membiarkan rakan sepasukan berjuang sendirian bagi memberi tentangan kepada negara Gajah Putih berkenaan.

"Selagi saya tak mati tak patah tangan saya tetap mahu berjuang. Saya tak boleh lihat kawan saya 'sakit' (berjuang tanpanya) dan saya tetap tahan juga.

"Saya memang nak keluar (digantikan pemain lain) tapi saya rasa masih boleh teruskan permainan namun tiada rezeki untuk kami menang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir semalam.

Pada set pertama, Azlan mengalami kecederaan tangan terseliuh akibat kesilapan sewaktu melakukan pendaratan ketika kedudukan 6-9 sekali gus menjejaskan rentak permainan regu pertama negara.

Azlan yang beraksi dalam kesakitan bersama regu yang turut dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Azmi (apit kiri) itu tewas 11-15 pada set pertama, sebelum bangkit 15-12 namun kecundang 15-17 dalam pertarungan penuh debar.

<!––>

Dalam pada itu, Azlan sedang menunggu perincian lanjut berhubung kecederaannyanamun optimis kembali pulih menjelang kejohanan terdekat.

Beliau berbangga dengan semangat juang ditunjukkan rakan sepasukan biarpun tidak dapat meraih gelaran berpasukan itu.

— BERNAMA