JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak segelintir pihak yang mengkritik tindakan kerajaan membawa pulang pesakit dan waris rakyat Palestin untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
Anwar berkata, usaha membawa pulang 40 rakyat Palestin yang cedera itu adalah usaha kecil kerajaan jika dibandingkan dengan jumlah 40,000 mangsa yang terkorban kerana kekejaman rejim Israel.
“Semalam kita bawa anak-anak Palestin yang cedera parah kerana kekejaman tentera rejim Israel, (mereka) dibunuh, rumah dibom, wanita diperkosa dengan zalim, itupun (tindakan bawa balik) dicerca.
“Ada orang kata Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat.
“Ini bantuan kecil, jadi kalau tanya saya syukur kepada Allah SWT kerana ada juga perasaan ihsan timbang rasa untuk meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Semalam, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang, Selangor membawa 41 pesakit dan 86 waris berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir.
Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha membawa rakyat Palestin itu merupakan satu tindakan berisiko tinggi dan memerlukan pasukan yang mempunyai pengetahuan terhadap risiko yang bakal dihadapi.
“Jadi kita guna pesawat TUDM kerana ambil mereka di sempadan Mesir yang sedang bergolak, kalau guna pesawat komersial kemungkinan berisiko ditembak peluru berpandu Israel.
“Mereka (pasukan TUDM) yang ada dalam pesawat itu tahu terhadap risiko berkenaan,” katanya.
Anwar turut mengutuk pihak yang membuat tohmahan terhadap kerajaan yang mendakwa sebagai ajen Yahudi, Amerika Syarikat dan Israel. – Iteenews