MELAKA – Pemandu lori pembancuh simen yang merempuh dan menggilis wadar penjara wanita dalam nahas di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Sungai Udang dekat sini semalam, direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga 19 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, N. Sivashangari bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek lelaki berusia 49 tahun itu sebelum ini ditahan selepas lori dipandunya dipercayai melanggar mangsa, Amal Nurlidar Ghazali, 42, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang semalam, mangsa yang merupakan Sarjan Penjara di Penjara Dusun Dato’ Murad disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di muka, kaki dan beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku ketika lori berkenaan dalam perjalanan dari Bukit Rambai menuju ke Masjid Tanah.
Katanya, setiba di lokasi lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek sebelum mengelak ke bahu jalan lalu merempuh motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. – https://amiminerals.org/