BN Terbuka Adakan Kerjasama Dengan Parti Lain Di Sabah Hadapi PRN – Ahmad Zahid

385c5169931eb9223ec6a0c0d835b6546825ea179038eTimbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri), menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Md. Fadzmel Md. Fadzil (dua, kanan), pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Tahun 2024 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari KKDW, hari ini.Turut kelihatan Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang (dua,kiri). –fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 15 Mei (Iteenews) — Barisan Nasional (BN) terbuka untuk mengadakan perundingan dengan parti-parti politik lain di Sabah selain Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun parti itu belum memuktamadkan untuk membentuk 'Gabungan Mega', namun ia sedang giat meneroka beberapa kemungkinan termasuk kerjasama 'BN-Pakatan Harapan (PH) Plus Plus dan tidak tertakluk kepada satu atau dua gabungan sahaja.

"Kami merasakan bahawa mana-mana parti politik atau gabungan parti politik yang berpengkalan di pusat wajib bekerjasama dengan mana-mana parti politik atau gabungan parti politik di Sabah.

"Ini wajib dilakukan kerana kita mengetahui bahawa kombinasi di antara organisasi politik pusat dan organisasi politik negeri mesti disantuni dan mesti diterjemahkan sebagai satu realiti," katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi Kementerian KemajuanDesa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2024, di sini hari ini.

Ditanya sama ada perbincangan dengan wakil GRS akan berlangsung ketika lawatannya ke Sabah hujung minggu ini, Ahmad Zahidyang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau telah banyak kali mengadakan perbincangan dengan wakil GRS.

"Insya-Allah, bukan hanya dengan GRS, tetapi kami juga terbuka untuk berbincang dan berunding dengan mana-mana parti politik lain di Sabah," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau mempunyai jadual padat terutama program yang telah diatur KKDW, namun tidak melupakan urusan politik lebih-lebih lagi kerana PRN Sabah semakin hampir.

Ditanya jangkaan rundingan politik itu akan dimuktamadkan, Ahmad Zahid berkata beliau tidak dapat memberi jangka masa tertentu, namun tetap mengutamakan kestabilan politik antara kerajaan negeri dan pusat demi kepentingan rakyat di Sabah.

"Jadi kalau ini difikirkan sebagai sesuatu yang baik oleh pemimpin, mana-mana organisasi politik, ianya harus diterjemahkanpelaksanaannya," katanya.