Momen terakhir Sarjan Perumal gelak tawa sebelum maut nahas FRU

WhatsApp Image 2025 05 15 at 12.52.53 0a71550b

Tangkap layar perkongsian pengguna TikTok @._hanabiee97, dua hari lalu.

PETALING JAYA – Keceriaan dan gelak tawa Sarjan S Perumal semasa berbual dengan beberapa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 12 Mei lalu menjadi momen terakhir untuk dikenang sebelum mendiang terlibat dalam satu kemalangan maut yang menggemparkan pasukan keselamatan itu.

Perumal, 44, antara sembilan anggota FRU yang maut selepas kenderaan pasukan itu terlibat kemalangan dengan lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan pada pukul 8.50 pagi, kelmarin semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam selepas tamat tugas.

Kemalangan terbabit turut mengakibatkan dua lagi anggota pasukan berkenaan parah manakala tujuh cedera.

Menerusi perkongsian pengguna TikTok @._hanabiee97 dua hari lalu, wanita itu memuat naik gambar memaparkan wajah ceria Perumal ketika berbual dengan rakan-rakannya sewaktu bertugas iaitu sehari sebelum nahas terbabit.

“Masa ini aku tengok view (pemandangan) cantik, ‘ngam’ (sesuai) pula anggota FRU tengah berdiri, jadi tangkap gambar je lah.

“Tapi yang sedihnya hari ini, (kelmarin) dapat info yang anggota FRU terlibat kemalangan maut. Al-Fatihah untuk semua anggota yang terlibat. Terima kasih walaupun semalam (12 Mei) semua penat, tetapi masing-masing tersenyum waktu bertugas,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai menyifatkan mendiang sebagai seorang anggota rajin bekerja selain mempunyai peribadi yang baik.

“Saya pernah bertugas dengan Sarjan Perumal semasa di Sabah. Sempat juga bergambar kenangn dengannya. Dia seorang yang sangat baik,” kata @ahmdshahrir496.

“Mendiang pernah bertugas di IPD Kulai Johor. Suami cakap dia memang baik dan rapat dengan anggota ini dulu,” komen @mawarputih.

Sementara itu, ada juga pengguna lain meminta pemilik akaun tersebut berkongsi gambar terbabit kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai kenangan bagi memperingati jasa serta momen akhir anggota FRU sebelum maut dalam kemalangan menyayat hati pada 13 Mei lalu.

Selain Perumal, mereka yang terkorban ialah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46, Koperal Nurit Pandak, 34, Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41, dan Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38.

Turut terkorban, Koperal Amiruddin Zabri, 38, Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28. – https://amiminerals.org/