PETALING JAYA – Seorang pemuda mencuri perhatian apabila tetap hadir ke majlis konvokesyen rakan-rakannya meskipun dirinya lumpuh dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda.
Momen menyentuh hati itu dirakam kakaknya menerusi TikTok @Linaahmadfathii, memaparkan detik adiknya dipeluk dan dicium oleh rakan-rakannya sebaik tiba di majlis berkenaan.
“Sedih rasanya. Kalau Harmie sihat, hari inilah dia konvo dengan kawan-kawan. Tapi kena reda, terima takdir Allah untuk Harmie.
“Harmie pun nampak gembira, tapi balik rumah dia macam nak nangis. Mungkin sedih tengok kawan-kawan lain dah ‘graduation’ (tamat pengajian),” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa simpati dan memberikan kata-kata semangat buat Harmie.
“Sedihnya tengok masa kawan dia cium dia tu,” komen @Nryliatsnimm.
“Kawan yang baik itu adalah teman hingga ke akhirnya. Insha-Allah. Dia pasti kuat untuk laluinya,” kata @Rozita889.
“Semoga kawan-kawan Harmie kekalkan persahabatan dan silaturahim,” ujar @Panda.mkc.
Terdahulu, media melaporkan Harmie mengalami lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Jalan Mahameru pada April tahun lalu yang menyebabkan dia mengalami kecederaan otak.
Akibat kejadian itu, Harmie hilang keupayaan untuk berkomunikasi dan bergerak selepas sarafnya terjejas. – https://amiminerals.org/