WASHINGTON – Presiden Donald Trump mendapat kemudahan restoran McDonald’s bergerak sepanjang beliau berkunjung ke Arab Saudi untuk lawatan kerja, lapor akhbar Metro UK semalam.
Seorang pegawai White House berkata, lori makanan segera popular itu disediakan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman kerana McDonald’s menjadi makanan kegemaran Trump.
Beliau pernah menawarkan bufet makanan segera itu ketika mengalu-alukan pasukan juara bola sepak kolej kebangsaan, Clemson Tigers ke White House pada 2019.
Trump juga mengidam hidangan McDonald’s selepas pulih daripada Covid-19 pada 2020, demikian menurut menantu lelakinya, Jared Kushner.
Semasa kempen presiden pada 2016, bekas pengawal peribadi Trump pula berkata, Egg McMuffins adalah sarapan pilihan Trump.
Minat Trump kepada makanan segera menjadi lebih terserlah semasa kempen pilihan raya presiden pada 2024, di mana beliau dilihat memakai apron McDonald’s dan ‘bekerja’ di sebuah cawangan restoran itu di negeri Pennsylvania. – AGENSI