‘Rakyat bayar cukai, kamu seleweng diesel’

WhatsApp Image 2025 05 13 at 2.06.40 PM e1747124550934

Pegawai KPDN membawa Mohamad Aiman (dua dari kiri) dan Mohd. Amiruddin (tiga dari kiri) untuk didakwa atas pertuduhan menyimpan 1,600 liter diesel di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. -Foto ROSALWANI CHE SOH / KOSMO!

KOTA BHARU – “Ini bukan kes tiada lesen motor. Negara rugi berbilion ringgit kerana orang seperti kamu. Rakyat bayar cukai, kamu seleweng.”

Itu tegas Hakim Zulkifli Abdullah sebelum menjatuhkan hukuman terhadap seorang pemandu lori dan seorang penganggur selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan lebih 1,600 liter diesel tanpa kebenaran kira-kira dua tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohamad Aiman Mohd. Din, 31, yang bekerja sebagai pemandu lori dan Mohd. Amiruddin Ramly, 34, masing-masing didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Aiman didakwa memiliki sebanyak 832.5 liter diesel tanpa lesen sah sekali gus melanggar Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Perbuatan itu dilakukan di depan pejabat sebuah hospital di Kubang Kerian di sini kira pukul 12.45 tengah hari pada 6 September 2023.

Sementara itu, Mohd. Amiruddin dituduh memiliki 780.5 liter diesel tanpa kebenaran di tepi Jalan Semerak, Kampung Dalam Rhu dekat Pasir Puteh pada 26 Julai 2023.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Muhammadi Iman Masjuri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhammadi Iman memohon satu hukuman berat dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh apabila tindakan mereka itu memberi kesan buruk kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Zulkifli sebelum menjatuhkan hukuman menegaskan bahawa kesalahan berkenaan amat serius kerana menyebabkan kerugian besar kepada negara.

“Ini bukan kes tiada lesen motor. Negara rugi berbilion ringgit kerana orang seperti kamu. Rakyat bayar cukai, kamu seleweng,” tegasnya.

Kedua-dua tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah. – https://amiminerals.org/