NEW DELHI – India membuka semula 32 lapangan terbang hari ini selepas gencatan senjata yang diumumkan kelmarin menamatkan pertempuran paling buruk dengan negara jirannya, Pakistan sejak 1999.
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India berkata, sebanyak 32 lapangan terbang – dari Srinagar di Kashmir hingga ke Bhuj dalam negeri barat Gujarat – kini dibuka untuk operasi awam.
Semua lapangan terbang itu ditutup minggu lepas selepas pertempuran sengit meletus antara India dan Pakistan selama empat hari, mencetuskan kebimbangan global ia bertukar menjadi perang besar-besaran.
Syarikat penerbangan popular India, IndiGo berkata, pihaknya akan ‘memulakan operasi secara beransur-ansur di semua laluan yang ditutup sebelum ini’.
Gencatan senjata itu diumumkan kelmarin tetapi kedua-dua belah pihak segera menuduh pihak satu lagi melanggarnya.
Bagaimanapun, India dan Pakistan berkata bahawa keadaan di sempadan tenang hari ini.