JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia nekad melanggar sebuah majlis perkahwinan yang diadakan di jalan utama kerana berang laluannya terhalang, lapor laman berita Abatanews.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @lokersukoharjo menunjukkan lelaki itu memandu sebuah kereta jenama Honda dengan laju.
Selain cuba merempuh khemah dan dekorasi yang lain, dia juga cuba melanggar beberapa pekerja yang sedang duduk.
Pemandu itu kemudian berhenti apabila keretanya dihalang oleh orang ramai.
Masih belum jelas bagaimana pertelingkahan itu berakhir.
Rakaman itu mencatatkan lebih 12,500 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Siapa suruh buat majlis tengah jalan?” kata seorang netizen.
“Majlis kahwin seeloknya dilakukan di dewan supaya tidak mengganggu orang lain,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI