KUALA LUMPUR, 11 Mei (Iteenews) — UMNO tidak boleh lagi statik atau jumud, sebaliknya perlu pragmatik ketika berdepan kedinamikan landskap politik dan perubahan zaman yang kian mencabar, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata selain itu UMNO juga tidak boleh bergantung kepada pendekatan lapuk, sebaliknya perlu berani menyesuaikan strategi, pendekatan dan gerak kerja seiring realiti politik baharu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata generasi pengundi masa kini iaitu Gen Z dan Alpha, hadir dengan sudut pandang berbeza, diasuh serta dibentuk oleh garis masa media sosial, dan bukan lagi berkisar kepada retorik lama yang kian pudar maknanya.
"Naratif sejarah tidak lagi mencengkam emosi mereka, yang mereka dambakan ialah masa depan yang menjanjikan harapan kepada diri dan tanah air," katanya ketika menyampaikan amanat Hari UMNO ke-79 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata rakyat kini semakin terbuka dan kritikal selain kebergantungan terhadap parti politik kian luntur, hingga wujudnya defisit kepercayaan yang terbit daripada imej pemimpin yang sering berbalah, berjanji kosong dan menghindari kepentingan rakyat.
Menyentuh kemenangan UMNO dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini termasuk PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ahmad Zahid mengingatkan semua ahli parti agar tidak terlalu leka kerana medan peperangan yang jauh lebih besar sedang menanti.
Beliau berkata UMNO mesti melangkah ke depan dengan naratif lebih segar, komunikasi lebih strategik dan gerak kerja lebih tajam, tuntas serta berani.
"Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal membuka gelanggangnya, disusuli PRN Melaka, PRN Johor dan akhirnya, perang besar yang bakal menentukan nasib dan masa depan negara, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16," katanya.
Ahmad Zahid juga menyeru supaya ahli-ahli UMNO tidak bersengketa antara satu sama lain dantidak terbuai dalam jerat persepsi sertasentimen yang hanya melemahkan parti.