KOTA KINABALU – Tiada perbincangan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibincangkan sempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah hari ini.
Anwar menegaskan pertemuan bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pagi tadi hanya kunjungan hormat sejak pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri.
“Keputusan mengenai pembubaran DUN Sabah terletak sepenuhnya kepada Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
“Perbincangan tertumpu kepada isu-isu berkaitan pembangunan Sabah dan usaha mengukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan,”katanya ketika ditemui media di Istana Seri Kinabalu hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan perbincangan menyentuh pelbagai sektor, termasuklah minyak serta mengambil kira input daripada pemimpin negeri dengan tujuan menangani kebimbangan utama dan mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan.
Terdahulu, spekulasi berhubung kemungkinan pembubaran awal muncul susulan pertemuan antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sabah hari ini.- https://amiminerals.org/