PETALING JAYA – Bekas isteri juruterbang, Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim yang maut dalam nahas di Elmina, Shah Alam tahu lalu menuntut agar ahli keluarga mangsa nahas tersebut dibenarkan untuk mendengar rakaman perakam suara kokpit milik pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), N28V.
Wanita yang dikenali sebagai Christine Yong itu melalui hantaran di Instagram Story berkata, ahli keluarga tidak akan percaya sebulat-bulatnya transkrip rakaman suara yang dikeluarkan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) menerusi Laporan Akhir nahas kemalangan udara itu, semalam.
Katanya, ahli keluarga berhak mendengar rakaman tersebut bagi memastikan ketulenan suara yang dikatakan dirakam oleh perakam tersebut.
“Saya amat marah dengan segalanya, dengan tiada kotak hitam untuk kita dengar sebagai bukti nak suruh kami hadam saja bulat-bulat ke laporan ini?
“Anda fikir anak saya perlu menerima fakta itu tanpa bukti dahulu? Kami tidak bodoh untuk tunggu dan terima sahaja,” tegasnya.
Katanya, ahli keluarga mangsa nahas itu perlu menambah kekuatan bagi meneruskan kehidupan susulan tragedi itu tetapi akhirnya perlu menerima laporan sedemikian rupa.
“Saya akan kumpul segala kekuatan untuk memperjuangkan keadilan sekurang-kurangnya biarkan kami waris mangsa mendengar dan kenal pasti suara dengan betul sebelum minta kami terima laporan itu,” katanya.
Terdahulu, laporan akhir yang dikeluarkan AAIB semalam merumuskan tidak mempunyai latihan yang mencukupi selain kesedaran mengenai operasi ‘lift dump spoiler’ menyumbang kepada kejadian pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Ogos tahun lalu.
Katanya, ketidakbiasaan pembantu juruterbang (Second-in-Command) dengan risiko khususnya ‘lift dump system’ membawa kepada sambungan yang tidak disengajakan.
Pada Ogos tahun lalu, nahas pesawat terbabit telah meragut 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam. – Iteenews