Bayi dua bulan kritikal disyaki didera tunjuk perkembangan positif

WhatsApp Image 2025 05 07 at 19.53.23 cce778ee

MANGSA dilaporkan mengalami kecederaan parah disyaki disebabkan perbuatan ibu dan bapanya dalam kejadian di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah, Melaka. – Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON/KOSMO!

MELAKA – Keadaan bayi lelaki berusia dua bulan yang dilaporkan kritikal disyaki akibat didera ibu dan bapanya di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah, kelmarin mulai menunjukkan perkembangan positif, petang tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa dilaporkan telah sedar daripada keadaan koma dan diberikan susu melalui tiub kira-kira pukul 5 petang.

“Mangsa masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.

“Walaupun masih dalam keadaan lemah, namun bayi berkenaan telah sedar dan diberikan susu,” katanya ringkas kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan sepasang suami isteri direman selama tujuh hari selepas disyaki menyebabkan kecederaan terhadap bayi lelaki mereka yang berusia dua bulan.

Kejadian terbongkar selepas mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya yang berusia 22 tahun.

Wanita terbabit mendakwa mangsa diserang sawan sebelum meninggalkan bayi berkenaan di Hospital Melaka sejak pukul 1 pagi tanpa sebarang pemantauan.

Pemeriksaan dilakukan mendapati bayi itu mengalami pendarahan lama dan baru di dalam kepala, selain kesan lebam serta luka-luka di badan dan leher dipercayai akibat didera.- https://amiminerals.org/