NEW DELHI – New Delhi akan menyekat aliran air dari India ke sempadan antarabangsa, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
“Air India untuk manfaat rakyat negara ini sahaja. Air ini akan dipulihara untuk faedah India serta digunakan demi kemajuan India,” kata Perdana Menteri, Narendra Modi semalam.
Modi tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana India merancang untuk menggunakan lebihan air itu, namun pakar-pakar berkata, negara itu perlu membina lebih banyak empangan, takungan dan tasik untuk menyimpannya.
Semua infrastruktur itu akan mengambil masa yang lama untuk dibina.
Walaupun tidak menyebut Pakistan secara khusus, komen Modi dikeluarkan kira-kira dua minggu selepas India menggantung perjanjian perkongsian air berusia 65 tahun dengan jirannya itu.
Perjanjian Perairan Indus (IWT) 1960, yang mengawal perkongsian air enam sungai di lembangan Indus antara India dan Pakistan tidak terjejas walaupun kedua-dua negara pernah berperang sebelum ini.
Hubungan antara India dan Pakistan bagaimanapun merosot mendadak berikutan serangan pemberontak ke atas pelancong di wilayah Kashmir ditadbir New Delhi bulan lepas.
India menuduh Pakistan menyokong keganasan rentas sempadan, namun tuduhan itu dinafikan Islamabad.
Penggantungan perjanjian air oleh Modi adalah antara langkah yang diambil beliau terhadap Pakistan susulan serangan yang mengorbankan 26 orang awam.
Beberapa sungai yang mengalir dari India ke Pakistan menyediakan bekalan air penting kepada kira-kira 80 peratus ladang di negara itu.
Pemimpin Pakistan sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk menghentikan aliran air akan dianggap sebagai tindakan perang. – AGENSI