JAKARTA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dia dikejar puting beliung ketika cuba menyelamatkan diri di sebuah kawasan lapang di wilayah Kepulauan Riau, Indonesia, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) di Batam Center semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @asripurba180 menunjukkan penunggang motosikal itu cuba melarikan diri sebelum ditiup pusaran angin sehingga terjatuh.
Dia bagaimanapun terselamat selepas bangun dan bergegas ke tempat lebih selamat.
Rakaman itu mencatatkan lebih 297,500 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Wanita itu hampir diterbangkan angin,” kata seorang netizen.
“Sudah lari masih dikejar, puting beliung itu berdendam agaknya,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI