Ibu, anak 4 tahun parah nahas enam kenderaan

kemalangan parah lebuh raya guthrie

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Bukit Subang berhampiran susur Lebuh Raya Guthrie, semalam.

SUNGAI BULOH – Seorang wanita dan anaknya cedera parah dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Bukit Subang berhampiran susur Lebuh Raya Guthrie di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, kereta dipandu wanita berusia 29 tahun dengan anak perempuannya berusia empat tahun berada dalam kerusi bayi dirempuh sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar pukul 1.20 tengah hari.

“Siasatan awal menerusi rakaman video papan pemuka mendapati sebuah lori dari arah Batu Arang menghala ke Cyberjaya dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar kereta Proton Saga BLM dinaiki mangsa.

“Pelanggaran turut melibatkan dua kereta serta sebuah van dan kenderaan pelbagai guna (MPV),”katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hafiz berkata, kejadian mengakibatkan pemandu dan penumpang Proton Saga cedera parah serta kerosakan teruk pada semua kenderaan terlibat.

“Pemandu lori iaitu lelaki berusia 31 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”ujarnya.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyantie Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222. – https://amiminerals.org/