MANCHESTER – Manchester City kini berada dalam kedudukan terbaik untuk memecut ke garisan penamat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meraih kemenangan demi kemenangan meletakkan semula mereka dalam perlumbaan merebut status naib juara.
Selepas bergelut untuk konsisten sepanjang musim, anak-anak buah Pep Guardiola berjaya mencatat tujuh kemenangan dan satu seri sejak rehat antarabangsa Mac lalu iaitu kebangkitan paling meyakinkan sejak awal musim.
Kebangkitan itu bermula dalam perlawanan menentang Crystal Palace apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 di laman sendiri dengan Kevin De Bruyne muncul penyelamat dan sejak itu, City tidak lagi menoleh ke belakang.
“Kami kembali jadi diri kami. Tak sempurna tetapi kami kini lebih stabil dan fokus,” kata Guardiola.
City hanya tiga mata di belakang pasukan tempat kedua, Arsenal dan berpeluang menyamakan kedudukan jika berjaya menewaskan pasukan yang sudah tersingkir, Southampton di Stadium St. Mary pada Sabtu ini.
Menambah kelebihan buat City, Arsenal bakal bertemu juara baharu musim ini, Liverpool akan bertemu di Anfield pada Ahad ini dan sekiranya tewas dalam perlawanan itu, ia sekali gus membuka peluang buat mereka merampas kedudukan kedua.
Dalam masa sama, Newcastle dan Chelsea yang kini berada di tangga ketiga serta kempat juga berpeluang memburu kedudukan kedua memandangkan mereka hanya ketinggalan satu mata di belakang City.
Tiga mata ke atas Southampton bukan sahaja wajib tetapi menjadi kunci utama buat City terus menekan Arsenal merebut status naib juara musim ini. – AGENSI