Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 8 Mei (Iteenews) –Menggalas tanggungjawab sebagai petugas haji bukan sekadar satu tugasan biasa, sebaliknya ia menuntut komitmen yang tinggi, kesabaran luar biasa serta keikhlasan dalam menyantuni jutaan tetamu Allah, sepanjang musim ibadah haji.
Pengalaman inilah yang dilalui oleh Pengurus Perkhidmatan Luar Tabung Haji (TH)Mohamad Zamry Mohd Noor, 60,yang telah lebih 30 kali diberi kepercayaan untuk berkhidmat dalam operasi haji sejak empat dekad lepas.
Bagi beliau,keberkatan tugasan itu tidak hanya terletak pada usaha, tetapi turut hadir daripada sumber yang lebih halus iaitu titipan doa ikhlas yang terbit daripada hati Duyufurrahman, ketika selesai menyempurnakan rukun Islam kelima itu.
“Setiap kali jemaah hendak pulang, saya akan naik ke atas bas dan menyampaikan ucapan mewakili semua petugas. Saya ucapkan terima kasih atas kerjasama mereka, mohon maaf atas sebarang kekurangan dan kami sama-sama berdoa agar dipilih semula menjadi tetamu Allah pada tahun hadapan.
“Itu mungkin ucapan yang biasa, tapi saya percaya dalam kata-kata itu terselit doa mereka yang mustajab,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sinibaru-baru ini.
MohamadZamry berkata bagi beliau, kejayaan seorang petugas bukan hanya diukur pada sejauh mana tugasan selesai, tetapi bagaimana mereka menyantuni jemaah dengan penuh amanah dan kasih sayang.
“Kita perlu jujur, amanahdan mesra dengan jemaah. Mereka ini tetamu Allah dan bila kita ikhlas, mereka mendoakan kita tanpa kita sedar, dan itulah yang saya rasa membawa saya kembali hampir setiap tahun ke Tanah Suci sebagai petugas haji,” katanya.
Pernah memegang amanah sebagai Pengarah Operasi Masyair yang meliputi Arafah, Muzdalifah dan Mina pada musim haji 1445H/2024M, Mohamad Zamry berkata pelbagai peristiwa penting sepanjang empat dekad bertugas di Tanah Suci akan terus terpahat dalam ingatannya.