Rafizi Sedia Pertahan Jawatan Timbalan Presiden, Alu-alukan Pertandingan

7a280c92d1917700470929b26651538264c68cc31f0c3Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Iteenews) — Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini mengesahkan akan terus mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR, sambil mengalu-alukan jawatan itu untuk dipertandingkan pada pemilihan parti berkenaan akhir bulan ini.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata pertandingan untuk merebut jawatan nombor dua parti itu adalah hak masing-masing dan wajar diraikan dalam semangat demokrasi.

“Saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuat parti. Ia keputusan yang menang-menang bagi saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menerima baik berita berhubung beberapa pimpinan Cabang parti itu yang menyatakan sokongan agar Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar serta bekas Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu.

“Kita perlu menerima hakikat beberapa kontroversi yang timbul akibat pemilihan kali ini (kecil atau besar) sedang diperhatikan rakyat. Sebab itu, saya berpendapat apa pun isu berbangkit, baik mengenai sistem, aduan atau perkara lain, perlu ditangani secara berhemah kerana tingkah laku kita sepanjang proses ini dinilai rakyat.

“Saya juga bersyukur kerana pengalaman 26 tahun dalam parti ini mendidik saya bahawa sesuatu jawatan itu adalah amanah yang berat, apatah lagi jawatan sebagai menteri,” kata Rafizi yang juga Ketua Cabang PKR Pandan, sambil menambah bahawa setiap keputusan yang dibuat mesti dipandu mengikut kebertanggungjawaban dan tidak berkait dengan pangkat serta kedudukan.

Rafizi bagaimanapun berkata apa sahaja pilihan yang diambil perwakilan parti, ia akan membuka ruang kepadanya untuk menawarkan sumbangan dalam menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan. Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya.

Rafizi turut memberitahu beliau telah membuat permohonan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR untuk bercuti daripada tugas rasmi bagi memberi tumpuan meredakan keadaan di peringkat akar umbi PKR.