\’Video solat Jumaat bunian rakaman lama, sudah dipadam\’

WhatsApp Image 2025 05 05 at 10.21.39 PM e1746458995577

Syeikh Muhd. Zainul Asri membuat penjelasan berhubung video tular berkaitan solat Jumaat bunian, hari ini.

ALOR SETAR – Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli hari ini tampil menjelaskan secara terbuka kontroversi melibatkan penularan videonya berkaitan solat Jumaat seorang ulama bersama bunian, baru-baru ini.

Dalam rakaman video berdurasi 3.36 minit itu, pendakwah terbabit menegaskan video yang ditularkan tersebut merupakan video lama yang sudah dipadamkan daripada rekod simpanan medianya sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya bertindak memadam semua video yang dikhuatiri mencetuskan kontroversi itu selepas perjumpaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) pada 13 Oktober tahun lepas.

“Sejak dari tarikh perjumpaan tersebut, tiada sebarang video kontroversi baharu dimuat naik ke mana-mana saluran media sosial kami. Video yang sedang diviralkan pada masa ini adalah rakaman lama yang direkodkan sebelum sesi perjumpaan dengan pihak JHEAIK diadakan.

“Saya telah menarik balik semua video terdahulu dan ingin menegaskan bahawa tiada lagi kandungan bersifat kontroversi akan dimuat naik ke platform media sosial kami,” katanya dalam rakaman video berkenaan yang dimuat naik ke media sosial miliknya, hari ini.

Beliau pada masa sama menasihatkan semua pihak agar tidak terus menyebarkan atau menularkan video-video lama itu kerana ia tidak mencerminkan pendirian dan tindakan semasanya.

“Sebagai penjelasan, saya ingin maklumkan bahawa saya telah dipanggil oleh pihak JHEAIK untuk menerima nasihat dan teguran. Sesungguhnya saya amat menghargai teguran tersebut,” katanya. – https://amiminerals.org/