SETIU – Seorang suri rumah memohon bantuan kaki palsu untuk bapanya kerana alat sokongan lama tidak boleh digunakan lagi kerana terlalu uzur.
Farah Aida Razali, 35, berkata, kaki palsu lama bapanya, Razali Junoh, 67, telah beberapa kali dibaiki dan perlu diganti baharu namun dia tidak mampu untuk membeli alat sokongan tersebut.
“Ketiadaan kaki palsu tersebut menyebabkan ayah yang sukar bernafas dan perlu dibantu untuk bergerak terutama untuk ke tandas.
“Saya tidak mampu membeli kaki palsu baharu berharga RM4,700 kerana hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai anggota sukarelawan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya semalam.
Menurutnya, bapanya yang menderita penyakit paru-paru kronik kini bergantung kepada bantuan mesin oksigen.
“Mesin itu kami sewa sebanyak RM300 sebulan. Ayah kudung kaki kiri sejak 15 tahun lalu.
“Kakinya terpaksa dipotong hingga paras lutut akibat dipatuk seekor ular tedung di kawasan kebun kami pada tahun 2010,” ujarnya.
Farah Aida berkata, selain bapa, dia turut menjaga ibunya, Yahni Mohd. Noor, 66, yang menghidap penyakit jantung, manakala adiknya, Muhammad Faruq pula merupakan orang kurang upaya (OKU) sindrom down yang menderita gout kronik.
“Ayah dan adik menerima bantuan keseluruhan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tidak mencukupi untuk membiayai kos perubatan mereka,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Razali bernombor 1140041000016355 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi Farah Aida di talian 019-906 64674.