Pegawai imigresen cedera dirempuh tukang urut Bukit Bintang

WhatsApp Image 2025 05 06 at 10.04.25

Antara warga asing yang ditahan JIM dalam serbuan di Bukit Bintang, malam tadi. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cedera ringan selepas dirempuh tukang urut warga asing yang cuba melarikan diri dalam serbuan di Bukit Bintang, di sini semalam.

Kedua-dua pegawai itu dilihat mengalami luka di tangan dan lutut apabila segelintir pekerja asing yang menyedari kehadiran pihak berkuasa cuba melarikan diri sebelum merempuh pegawai berkenaan hingga terjatuh.

Ketika diperiksa, seorang wanita warga asing dikenali Dewi, 42, mengakui panik dan cuba melarikan diri gara-gara tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Katanya, dia sudah bekerja selama enam tahun sebagai tukang urut dengan gaji RM100 sehari selain mendakwa harga permit kerja di Malaysia mahal.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jafri Embok Taha berkata, bagaimanapun, keadaan tersebut berjaya dikawal dan warga asing berkenaan telah ditahan dalam serbuan bermula pukul 8.30 malam itu.

“Kebiasaanya dalam operasi seperti ini, pasti ada individu yang cuba meloloskan diri dan berlaku insiden kejar-mengejar menyebabkan pegawai terdedah kepada risiko kecederaan.

“Ada yang bersembunyi di tandas, bilik mahupun ruang yang sulit sehingga berlari ke luar premis, namun individu yang kita kejar berjaya ditangkap,”katanya ketika ditemui selepas operasi, di sini semalam.

Menurut Jafri, operasi disertai 55 pegawai JIM Kuala Lumpur itu mensasarkan premis perniagaan serta pusat urut di dua lokasi iaitu Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama dan Bukit Bintang.

Katanya, hasil pemeriksaan di dua lokasi terbabit, seramai 64 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan berusia lingkungan antara 18 hingga 60 tahun.

“Tangkapan membabitkan 39 lelaki dan 25 wanita terdiri daripda warga Myanmar, Indonesia, Nepal, Bangladesh dan Pakitan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963,”katanya.

Mengulas lanjut, Jafri berkata, sebanyak 15 Borang Imigresen 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan kepada majikan tempatan sepanjang tempoh pemeriksaan.

Tambahnya, kesemua warga asing akan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut. – https://amiminerals.org/