LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot mempertahankan tindakan menurunkan skuad kedua ketika tewas 1-3 kepada Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge malam kelmarin.
Jurulatih dari Belanda itu melakukan hampir enam pertukaran sehingga menyebabkan ramai menganggap The Reds seolah-olah mahu menghadiahkan kemenangan percuma buat Chelsea yang terdesak untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL).
Bagaimanapun, Slot menepis dakwaan itu dengan menjelaskan, pemain-pemain lain berhak mendapat minit permainan, lebih-lebih lagi Liverpool sudah pun memastikan kejuaraan Liga Perdana.
“Bagi saya, pemain-pemain ini berhak untuk diberikan peluang beraksi kerana mereka sudah menjalani latihan keras sepanjang musim, jadi tidak boleh kita menghakimi mereka berdasarkan satu perlawanan.
“Saya melihat mereka setiap hari di padang latihan dan tahu apa yang dilakukan. Mungkin hari ini (kelmarin) nasib tidak menyebelahi kami tetapi semua pemain sudah tampilkan aksi terbaik,”katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji aksi pemain-pemainnya yang langsung tidak kenal erti putus asa apabila cuba untuk melakukan kebangkitan meskipun sudah ketinggalan 0-2 kepada pasukan tuan rumah.
“Jika anda tengok reaksi kami selepas ketinggalan 0-2, ia wajar diberikan pujian. Apabila bermain menentang pasukan yang bagus seperti Chelsea, prestasi seperti ini sudah cukup baik,”ujar Slot. – AGENSI