Rumah jadi kilang ganja meletup

Kilang kanabis scaled

RUMAH yang menjadi \’kilang ganja\’ meletup di Bloxwich. – Foto SWNS

LONDON – Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke sebuah rumah di Bloxwich, England  selepas sebuah rumah teres yang dijadikan tempat memproses ganja meletup, menyebabkan  dua orang melecur teruk, lapor laman  berita The Mirror semalam.

Dua lelaki itu dirakam kamera keselamatan melarikan diri dari tempat kejadian.

Namun, anggota-anggota  paramedik dipanggil untuk pergi ke alamat lain dua jam kemudian di Willenhall, kira-kira 5 kilometer jauhnya dan menemui kedua-dua mereka melecur teruk. 

Dua individu itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth,  Birmingham, di mana mereka masih dirawat.

Letupan itu mengejutkan jiran sekeliling termasuk Hasnath Miah, 43, yang merupakan bapa kepada empat orang anak.

“Saya bergegas keluar selepas mendengar letupan kuat. Saya fikir ia letupan bom,” katanya.

Polis West Midlands percaya kebakaran berpunca daripada tong gas butana meletup dan sedang menyiasat sama ada rumah itu digunakan sebagai kilang ganja.

Seorang jurucakap polis berkata: “Siasatan terhadap kebakaran di sebuah alamat di Shrewsbury Close, Bloxwich  diteruskan.”  – AGENSI