SAUDARA PENGARANG,
Saya ingin menyuarakan rasa bimbang dengan tahap keselamatan di sebuah Taman Rekreasi Madani yang terletak di Sitiawan, Perak.
Daripada pemerhatian saya, taman itu bagaikan siap ‘separuh masak’ apabila sisa-sisa bahan binaan dibiarkan ‘bersepah’ di sekitar taman tersebut.
Saya tidak pasti apakah status taman ini sama ada ia telah siap sepenuhnya atau sebaliknya. Namun, jika dilihat daripada keadaan taman itu yang berbahaya kerana masih terdapat banyak sisa binaan itu, saya beranggapan ia masih belum siap.
Bagaimanapun, taman itu telah pun digunakan oleh orang ramai yang mana kebanyakan terdiri daripada kanak-kanak.
Saya bimbang sekiranya terdapat kanak-kanak yang bermain dengan sisa-sisa binaan berkenaan dan lebih malang jika ada yang cedera disebabkan terpijak papan, paku di sekitar kawasan itu.
Pihak berkuasa perlu menjelaskan status taman itu dan kontraktor terbabit perlu membersihkan bahan binaan, janganlah dibiarkan begitu sahaja bimbang ada yang ditimpa malang.
Mursyid Nur Rahmah
Sitiawan, Perak