Saudara Pengarang,
Setiap hari kita pasti membaca tentang ‘scammer’, sama ada penipuan melibatkan pelaburan atau ‘love scam’.
Kerugian dicatatkan mangsa juga mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit. Semakin banyak yang dilaporkan semakin ligat mereka mencari mangsa.
Minggu lepas saya mendapat panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya dari Unit Kawalan Siber Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), ibu pejabat suruhanjaya berkenaan.
Wanita itu mengatakan nombor telefon saya digunakan untuk menipu, menghantar mesej pautan link yang memperdaya orang ramai. Terlalu banyak aduan diterima dan mempunyai notis merah.
Saya diminta hadir ke pejabatnya dalam tempoh satu jam jika tidak nombor telefon disekat, tidak boleh digunakan sehingga terbukti saya tidak bersalah.
Panggilan saya juga dirakam untuk dihantar ke tingkat 8, sungguh tersusun ayat-ayat digunakan dan diselitkan sedikit penegasan.
Marah apabila kita tidak mahu mengikut katanya dan berkeras tidak terlibat apa-apa jenayah.
Ketika mendapat panggilan, saya berdepan satu kes kecemasan dan dalam situasi berkenaan pastinya memerlukan kewarasan dalam tindakan. Hasil siasatan mendapati tiada pun pegawai bernama itu di MCMC dan tiada unit itu di suruhanjaya berkenaan.
Saya pasti ada yang pernah menerima panggilan seumpama ini, namun ingatkan kita semua perlu kekal tenang dan jangan mudah untuk mengikut apa diminta.
Kepada anak-anak selalulah ingatkan keluarga tentang modus operandi kumpulan scammer ini. Kepada pihak berkuasa teruslah membanteras kes sebegini.
Dalam satu-satu situasi saya pasti ada yang termakan kata-kata scammer ini.
Dayang
Kajang, Selangor