\’Salam sempat bagi duit bayar bil sebelum lemas\’

WhatsApp Image 2025 05 05 at 9.15.42 AM

Mohd. Daud turut berada di kawasan Sungai Pengkalan Nangka, Kampung Kok Kebit di Tumpat semalam. FOTO ROHANA ISMAIL

TUMPAT – Seorang pemancing yang dilaporkan hilang selepas tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan Nangka, Kampung Kok Kebit di sini kelmarin dijumpai lemas malam tadi.

Mayat Muhammad Salam Mohd. Daud, 27, timbul di permukaan sungai tersebut kira-kira pukul 11.23 malam tidak jauh dari lokasinya terjatuh.

Bapa mangsa, Mohd. Daud Che Hussien , 56, berkata, dia syukur apabila urusan pencarian anaknya itu dipermudahkan oleh Allah SWT.

“Apabila mengetahui Muhammad Salam hilang, saya tidak putus-putus berdoa. Jika dia sudah meninggal dunia, timbullah, agar jasadnya dapat disemadikan dengan sempurna.

“Arwah merupakan anak yang baik dan banyak membantu kewangan keluarga. Sebelum turun memancing, arwah yang masih bujang sempat memberi wang kepada saya untuk menjelaskan bil elektrik selepas menerima gaji sebagai pekerja di stor kayu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Daud memberitahu, jenazah Muhammad Salam akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Talak di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Mohd. Nazdy Mohd. Noor, berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di permukaan sungai oleh orang awam.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,”ujarnya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, kegembiraan dua sekawan memancing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas tergelincir jatuh ke Sungai Pengkalan Nangka di Kampung Kok Kebit di sini malam kelmarin. – https://amiminerals.org/