MotoGP: Pecco yakin menonjol di Le Mans

PECCO

PECCO mengakui masih bergelut untuk mendapatkan pelarasan dan gaya tunggangan terbaik bersama jentera GP25. – AFP

LE MANS – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia berdepan tekanan untuk menghidupkan semula cabaran pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila ramai mula meragui keupayaannya merampas semula gelaran jika terus gagal menemui rentak sebenar.

Meskipun masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera GP25, Bagnaia yang kini berada di tempat ketiga keseluruhan, hanya ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu Alex Marquez dan masih tidak terlalu jauh untuk dikejar jika dia kembali menemui rentak.

“Jika Pecco berjaya temui semula kestabilan tunggangan itu, selepas dua kesilapan besar Marc, kita akan benar-benar menyaksikan kejuaraan yang terbuka!” kata seorang pemerhati perlumbaan, merujuk kemalangan Marc Marquez di Texas dan Jerez.

Selepas menamatkan Grand Prix (GP) Sepanyol di atas podium minggu lalu, Bagnaia meluahkan keyakinan beberapa penambahbaikan yang dicuba ketika sesi ujian hari Isnin mungkin menjadi titik tolak kebangkitannya.

“Kami cuba beberapa perkara yang dulu kami tidak melakukannya semasa pramusim. Tapi, kali ini, hasilnya agak mengejutkan. Saya lebih yakin untuk ke Le Mans dengan sesuatu yang lebih baik,” kata Bagnaia.

Bagaimanapun, pelumba Itali itu mengakui belum berada pada tahap terbaik untuk bersaing satu lawan satu di litar, apatah lagi dalam usaha memintas pelumba seperti Marc dan Alex Marquez yang lebih konsisten.

“Saya bukan dalam keadaan yang membolehkan saya memintas pelumba lain dengan mudah. Tapi, jika kami berjaya mendapat pelarasan motor dengan lebih stabil, saya yakin mampu mencabar semula,” katanya.

Semua mata kini tertumpu ke arah Le Mans minggu ini dan Bagnaia tahu untuk terus kekal dalam perebutan mahkota dunia, dia tidak boleh sekadar mengharapkan kesilapan orang lain. – AGENSI05