11 ditahan kes bunuh lelaki Myanmar di asrama pekerja

WhatsApp Image 2025 05 03 at 21.00.05

Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang dipercayai ditikam pada kepala di sebuah asrama pekerja di Bukit Minyak, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seramai 11 individu diberkas bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai ditikam di sebuah asrama pekerja kilang barangan terpakai di Bukit Minyak di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berdarah di lokasi kejadian, kira-kira pukul 9.20 pagi.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati mayat mangsa ditemui terbaring di dalam bilik asrama pekerja berkenaan.

“Pemeriksaaan lanjut, mangsa merupakan pekerja kilang tersebut. Tempat kejadian merupakan asrama pekerja yang terletak di dalam kawasan kilang yang didiami oleh mangsa dan rakan-rakan lain.

“Setakat ini, polis telah menahan 11 orang bagi membantu siasatan. Permohonan tahanan reman akan dilakukan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, polis ketika ini masih mengesan rakan-rakan mangsa yang lain dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian berlaku. -https://amiminerals.org/