SIK – Dua beradik berdepan detik cemas apabila dilanggar sebuah lori yang secara tiba-tiba mengundur sebelum terbalik di jalan mini tar Kampung Charuk Damar, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, penunggang motosikal yang merupakan remaja berusia 18 tahun cedera pada kaki, manakala adik lelakinya berusia empat tahun cedera pada tangan.
Difahamkan pemandu lori dalam perjalanan untuk mengambil besi buruk sebelum kenderaan itu tiba-tiba mengundur ketika cuba menaiki jalan berbukit di situ dan ketika kejadian motosikal dinaiki dua beradik terbabit berada di belakang lori.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Sam Khan Prak Prom Keu bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kejadian.
“Tangan kanak-kanak lelaki terbabit tersepit dan mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas ‘air lifting bag’.
“Kerja-kerja menyelamat terpaksa dilakukan dengan berhati-hati kerana mangsa masih kecil, selain kedudukan lori perlu distabilkan bagi mengelak ia menggelongsor,”katanya di sini hari ini.
Kata beliau, anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dan kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan. – https://amiminerals.org/