SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dikejarkan ke hospital selepas ditemukan terapung di dalam kolam di sebuah inap desa di Sungai Layar Tengah, di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu berlaku ketika mangsa bersama keluarga menginap di inap desa tersebut selepas
menghadiri majlis kenduri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
“Berdasarkan laporan awal, kejadian dikatakan disedari oleh ibu mangsa selepas mendapati anak lelakinya itu tiada di dalam rumah semasa mereka sedang berehat di dalam sebuah bilik di inap desa itu petang semalam.
“Ibu mangsa terkejut apabila mendapati pintu inap desa terbuka dan berlari keluar sebelum menemui anaknya terapung di dalam kolam mandi di situ,”katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa seterusnya dikejarkan ke HSAH dan diberikan rawatan di zon merah dengan keadaannya dilaporkan stabil selepas itu.
“Siasatan lanjut akan dilakukan sebaik pihak kita selesai merakam percakapan ibu bapa mangsa berkaitan kejadian itu dalam masa terdekat,”katanya. – https://amiminerals.org/