KUALA KRAI – Dua beradik Orang Asli dikhuatiri lemas ketika mandi bersama tiga rakan mereka di Sungai Kampung Kilat di sini petang semalam.
Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa, Irruwan Rantau, 17 dan adiknya, Rahidi, 16, disedari lemas oleh tiga rakan yang sempat naik ke tebing sebaik melihat dua beradik itu tenggelam di dalam sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Zulhilmi Baharudin berkata, kedua-dua mangsa yang berasal dari Pahang baru sampai ke Kuala Krai pada Khamis lalu.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang bekerja di ladang tembikai bersama tiga lagi rakan mandi di sungai itu selepas bekerja.
”Kita menerima panggilan telefon daripada pihak polis yang memaklumkan ada dua mangsa lemas kira-kira pukul 10.21 malam.
“Anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 81.6 kilometer dari balai bomba. Operasi mencari mangsa terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan gelap dan cuaca hujan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Zulhilmi memberitahu, operasi mencari mangsa dijalankan semula pada pagi ini. – https://amiminerals.org/