Tinggal 18 kg syabu dalam kereta

da9edfdc de19 4bee 93c8 9d0ba0c5a8e6

Wan Jamal Abdul Salam (tengah) menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu yang dirampas di dalam sebuah kereta di Kampung Resak, Pasir Mas pada bulan lalu. FOTO IHSAN JKDM

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan untuk mengedar sebanyak lebih 18 kilogram (kg) dadah jenis syabu selepas menyerbu sebuah kereta di Kampung Resak, Pasir Mas dekat sini pada bulan lalu.

Serbuan terhadap sebuah kereta jenis Proton Iswara itu dijalankan kira-kira pukul 7.18 pagi pada 10 April lalu selepas mendapati kenderaan tersebut ditinggalkan di kawasan berkenaan.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pemeriksaan di dalam kereta itu membawa kepada penemuan sebanyak lebih 18 kg dipercayai dadah jenis methamphetamine yang disimpan di dalam guni.

Menurutnya, 17 ketulan mampat yang dijumpai itu mengandungi serbuk putih jernih menyerupai kristal.

“Kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM585,664 mengikut harga pasaran semasa manakala sebuah kereta jenis Proton Iswara itu pula RM1,000.

“Siasatan lanjut mendapati, sindiket pengedaran dadah menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan sementara dadah sebelum ia diedarkan kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – https://amiminerals.org/