Malaysia enggan sekadar jadi pelengkap

Takraw

MALAYSIA (jersi kuning) berada pada persiapan terakhir menghadapi Piala Asia di Stadium Titiwangsa bermula 10 Mei ini.

SKUAD sepak takraw negara kini berada di pecutan terakhir persiapan menjelang saingan Piala Asia 2025 bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula 10 hingga 18 Mei ini.

Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak buahnya yang kini berada di landasan tepat untuk menyerlah selepas mengharungi beberapa perlawanan ujian berintensiti tinggi menentang bintang Liga Sepak Takraw (STL).

Bagaimanapun, beliau masih mahu melihat peningkatan lebih ketara dari aspek serangan dan pertahanan bagi memastikan Malaysia tidak sekadar menjadi pelengkap jadual apabila turun menentang gergasi seperti Thailand, Korea Selatan dan Vietnam.

“Kita tak mahu hanya bermain baik, kita mahu menang. Piala Asia sangat penting untuk kita buktikan bahawa kejayaan di Piala Dunia sebelum ini bukan kebetulan,” katanya.

Ahmad Jais juga tidak menolak potensi besar dimiliki barisan pelapis terutamanya pemain muda seperti Khairul Aman Rosdi yang bakal menjadi sandaran masa depan negara.

“Dia ada bakat luar biasa, tetapi masih perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan corak permainan antarabangsa. Keserasian dengan pemain lain pun perlu dipertingkatkan lagi,” ujarnya.

Piala Asia 2025 menyaksikan penyertaan beberapa pasukan utama benua termasuk Thailand, Korea Selatan, Vietnam, Iran dan Jepun untuk bersaing dalam empat acara iaitu regu, kuadran, double dan regu berpasukan.

Bagi acara regu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura, manakala regu berpasukan menyaksikan skuad negara di Kumpulan B dengan Korea Selatan, Brunei serta Jepun.

Malaysia bersama Filipina, Jepun dan China (Kumpulan B) dalam acara kuadran, manakala double menyaksikan pasukan kebangsaan berdepan Thailand, Taiwan serta Nepal dalam Kumpulan B.