24 pelabur skim pelaburan mesin air minuman tuntut RM1.8 juta

WhatsApp Image 2024 08 16 at 17.48.40 7e7d5cd0

HISHAMUDDIN (tiga dari kiri) bersama mangsa skim pelaburan mesin air minuman layan diri menunjukkan surat aduan yang dihantar ke pejabat SSM Melaka di Ayer Keroh, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

MELAKA – Seramai 24 mangsa penipuan skim pelaburan mesin air minuman layan diri oleh sebuah syarikat tempatan menuntut pemulangan wang pelaburan berjumlah RM1.8 juta.

Seorang mangsa, S. Maniam, 63, berkata, dia tertarik menyertai skim pelaburan tersebut selepas mendengar iklan di sebuah stesen radio swasta yang menjanjikan pulangan RM1,500 sebulan selama 10 tahun.

Kata eksekutif swasta itu, kaedah pemasaran yang sistematik, pelan pelaburan yang mantap dan perjanjian diuruskan secara profesional oleh peguam meningkatkan lagi keyakinannya untuk melabur.

“Saya bersetuju melabur pada 2020 untuk dua buah mesin minuman layan diri yang berharga RM30,000 sebuah dan membayar menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Saya tidak pernah melihat mesin tersebut secara fizikal, hanya gambar dan nombor siri sahaja diberikan.

“Selepas dua tahun saya tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan, pihak syarikat memberikan pelbagai alasan termasuk Covid-19 menyebabkan mereka tidak memperoleh pulangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan aduan para pelabur kepada wakil SSM untuk mengambil tindakan segera terhadap syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, skim pelaburan yang dianjurkan syarikat berkenaan dipercayai menepati definisi dan ciri-ciri skim pelaburan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan (2)(a) Akta Skim Kepentingan Awam 2016.

Jelasnya, syarikat berkenaan telah melakukan ketidakpatuhan Seksyen 3, 19, 22 dan 27 akta tersebut dan berharap SSM dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pemilik syarikat.

“Pelabur bimbang syarikat ini akan dibubarkan dan pengarahnya melarikan diri daripada liabiti kesalahan yang telah dilakukannya.

“Walaupun individu tersebut telah ditangkap polis, namun SSM perlu mencari keadilan kepada mangsa dalam ruang lingkup bidang kuasanya,” ujarnya. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *