GURUN – Cubaan dua lelaki tempatan membawa beras putih Siam yang disyaki diseludup dari negara jiran ke sebuah gudang gagal apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini hari ini.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik berjaya mengesan kegiatan tersebut dan menahan dua lelaki bersama sebuah treler dengan muatan beras putih.
“Dalam operasi kira-kira pukul 2 pagi itu, kita mendapati treler berkenaan membawa muatan 56.53 tan beras putih dianggarkan bernilai RM226,120.
“Tangkapan dan rampasan dijalankan setelah pemandu dan kelindan treler terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan beras yang dibawa,”katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua beras dan treler yang dianggarkan bernilai RM626,120 itu dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta 522, Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994.
“Hasil siasatan awal, beras itu disyaki diseludup menerusi sempadan negeri di Pantai Timur. Beras disyaki akan dibawa ke gudang untuk dibungkus semula sebelum diedar ke pasaran tempatan.
Katanya, sebanyak tiga saman dikeluarkan kepada pemandu treler atas kesalahan trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, muatan beras dan treler yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah, manakala pemandu dan kelindan lori ditahan untuk siasatan lanjut. – https://amiminerals.org/