Sindiket edar dadah di P. Pinang tumpas

GH24 template gari 1

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam siri serbuan di sekitar Seberang Jaya dan Bukit Mertajam dekat sini sekali gus merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM100,000, semalam.

Operasi tersebut turut berjaya menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 26 hingga 47 tahun dalam serbuan antara pukul 7 pagi hingga 10 malam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan yang dijalankan terhadap sindiket terbabit yang aktif mengedar dadah sejak tahun lalu.

“Antara rampasan utama melibatkan heroin seberat 8 kilogram, syabu seberat 706 gram, ganja 156 gram, dan serbuk kafein seberat 3.18 kilogram menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah RM100,500,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas itu berpotensi digunakan sehingga 433,000 kali penggunaan.

“Ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah, manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah lain,” katanya.

Tambahnya, kesemua tangkapan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 6 Mei bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita tiga buah kenderaan dan barang kemas bernilai keseluruhan RM75,990.

“Sitaan terdiri daripada sebuah Perodua Alza, dua motosikal Yamaha LC dan Y15ZR, serta barang kemas bernilai RM16,490. Dengan rampasan dadah dan sitaan harta, jumlah keseluruhan nilai rampasan mencecah RM176,490,” katanya. – https://amiminerals.org/