LUMUT – Kapal Maritim (KM) Tugau kembali memperkasa barisan hadapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak selepas selesai menjalani kerja-kerja pembaikan menyeluruh selama 10 bulan oleh Limbungan Navamas Engineering Sdn. Bhd.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kepulangan KM Tugau dijangka memberikan nafas baharu dalam memperkukuh operasi penguatkuasaan undang-undang maritim di Zon Maritim Malaysia (ZMM).
Ia khususnya di perairan Perak dan sempadan perairan Malaysia Indonesia yang berisiko tinggi terhadap pencerobohan serta jenayah rentas sempadan.
“KM Tugau dijangka memberi lonjakan keupayaan kepada APMM dalam melaksanakan rondaan, penguatkuasaan dan tindak balas pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan maritim.
“Dengan keupayaan aset ini, APMM Perak lebih bersedia untuk membanteras kegiatan nelayan asing, penyeludupan, pemerdagangan manusia serta pelbagai pelanggaran undang-undang di laut,”katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penerimaan secara rasmi KM Tugau antara Pegawai Memerintah kapal itu, Leftenan Maritim Ainol Firdaus Mat Khir dan wakil limbungan, Zahiruddin Zainal di sini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat tersebut atas komitmen menyiapkan pembaikan mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan, sekali gus memastikan KM Tugau kembali beroperasi dengan prestasi optimum. – https://amiminerals.org/