Pekerja kesuma bangsa – Ahmad Zahid

WhatsApp Image 2025 05 01 at 9.27.11 AM

Poster Hari Pekerja 2025 perkongsian Ahmad Zahid di Facebook hari ini.

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan golongan pekerja sebagai ‘pekerja kesuma bangsa’, iaitu satu penghormatan tertinggi yang layak diberikan kepada seluruh tenaga kerja di Malaysia sempena sambutan Hari Pekerja 2025.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Ahmad Zahid mengucapkan penghargaan kepada semua pekerja atas sumbangan, pengorbanan dan usaha berterusan mereka dalam memajukan negara.

“Daripada yang bertugas di pejabat, di lapangan, di kota mahupun di desa, semuanya memainkan peranan penting dalam membina Malaysia yang lebih mampan dan inklusif,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperjuangkan hak serta kebajikan pekerja, selain memperkukuh ekosistem kerja yang lebih adil, progresif dan berdaya saing.

“Kita mahu setiap titik peluh itu dibalas dengan peluang, pengiktirafan dan keadilan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam perutusan Hari Pekerja itu, Ahmad Zahid juga menyeru agar rakyat terus menjadi tonggak kepada kemajuan negara, sambil merakamkan ucapan terima kasih atas dedikasi yang ditunjukkan oleh seluruh tenaga kerja tanah air.

“Selamat Hari Pekerja 2025!,” ujarnya. – https://amiminerals.org/