KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah yang disyaki berselindung di sebalik perniagaan kosmetik berikutan penahanan seorang lelaki di Kampung Paya Keladi di sini pada Isnin lalu.
Lelaki berusia 35 tahun yang juga pengusaha kedai kosmestik terbabit diberkas dalam serbuan di sebuah premis kosong pada pukul 8.40 malam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, serbuan berkenaan turut berjaya merampas dadah jenis syabu dan aset-aset milik suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah terbabit bernilai keseluruhan lebih RM1 juta.
“Suspek ditahan dalam serbuan di sebuah kedai kosmetik yang tidak beroperasi.
“Pemeriksaan menemui bungkusan bertulisan Cina mengandungi dadah dipercayai syabu seberat 1.02 kilogram,”katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Mohd. Khairuddin berkata, dadah jenis syabu tersebut dianggarkan bernilai RM32,000 yang boleh memenuhi permintaan kira-kira 6,000 penagih.
Beliau berkata, aset-aset milik suspek yang disyaki hasil jualan dadah bernilai keseluruhan RM981,500 turut disita.
“Harta yang dirampas ialah kenderaan jenis Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman dan Range Roverserta barangan kemas dan wang tunai RM7,700,”katanya. – https://amiminerals.org/