Kebakaran hutan marak cetus panik di Israel

kebakaran hutan new

Orang ramai dipindahkan dari lebuh raya semasa kebakaran hutan berhampiran bandar Bet Shemesh semalam. – AFP

BAITULMUQADDIS – Kebakaran hutan yang marak akibat cuaca panas dan angin kencang berhampiran Baitulmuqaddis memaksa pemindahan penduduk dan penutupan lebuh raya utama, lapor portal berita Arab News semalam. 

Polis dalam satu kenyataan berkata, laluan utama antara Baitulmuqaddis dan Tel Aviv ditutup, manakala tiga komuniti telah dipindahkan.

“Berdasarkan penilaian tahap kebakaran, komander daerah telah mengarahkan pasukan penyelamat untuk bersiap sedia bagi menghadapi potensi pemindahan komuniti tambahan termasuk mengerahkan bas sekiranya diperlukan,” kata polis.

Rakaman yang disiarkan di televisyen memaparkan detik cemas apabila orang ramai mula keluar dari kereta untuk melarikan diri ketika lebuh raya dijilat api. 

Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Israel berkata, larangan untuk menyalakan unggun api berkuat kuasa sehingga 7 Mei susulan cuaca buruk yang boleh meningkatkan risiko kebakaran. 

“Aktiviti barbeku boleh dilakukan di kawasan yang dibenarkan,” tambahnya. 

Sebanyak 120 perkhidmatan bomba dan penyelamat mengerahkan berpuluh-puluh pasukan pemadam kebakaran, pesawat dan helikopter bagi mengawal kebakaran, demikian menurut media Israel. 

Kira-kira 12 orang dilaporkan cedera akibat terhidu asap tebal. Tel Aviv juga meminta bantuan daripada lima negara termasuk Greece, Bulgaria, Croatia, Itali dan Cyprus. – AGENSI