Kadar pengangguran menurun di Pulau Pinang

kerja

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Kadar pengangguran di Pulau Pinang terus menunjukkan penurunan apabila mencatatkan hanya 2.2 peratus pada 2024, sekali gus membuktikan pengukuhan pasaran buruh negeri ini selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) juga kekal memberangsangkan pada kadar 73.2 peratus, menggambarkan keyakinan rakyat terhadap peluang pekerjaan di negeri ini.

”Hari Pekerja melambangkan solidariti dan ketahanan umat manusia dalam arus pembangunan ekonomi serta manusiawi.

”Tema Hari Pekerja tahun ini, ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, adalah amat bertepatan dengan realiti bahawasanya para pekerja merupakan asas kepada kukuhnya sesebuah ketamadunan dan bangsa yang maju, inklusif serta berdaya tahan,”katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja, di sini hari ini

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan dan inovasi teknologi utama negara, khususnya dalam sektor elektronik dan semikonduktor.

‘Katanya, bagi tahun 2024, Pulau Pinang merekodkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM17.3 bilion melibatkan 182 projek dan membuka hampir 16,254 peluang pekerjaan.

”Sambutan Hari Pekerja begitu dekat di hati saya kerana kedudukan Pulau Pinang sebagai lubuk rezeki yang mana bukan sahaja rakyat Pulau Pinang, malah ramai individu dan keluarga yang bermastautin serta berkelana setiap hari dari negeri-negeri jiran untuk mencari rezeki di negeri ini.

”Berkat usaha daripada semua pihak, Pulau Pinang telah mengukuhkan reputasi sebagai destinasi perdagangan antarabangsa tumpuan, terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor yang berkembang dengan sangat pesat,”katanya. – https://amiminerals.org/