Gempar anak kambing lahir berkepala dua di Melaka

WhatsApp Image 2025 05 01 at 10.16.48 AM

PAK ABU menunjukkan anak kambing baka Black Belly miliknya yang dilahirkan berkepala dua di Bukit Kechil, Pernu, Melaka. Foto oleh AMRAN ALI/ KOSMO!

MELAKA – Penduduk di Bukit Kechil, Pernu dekat sini gempar dengan kelahiran seekor kambing berkepala dua semalam.

Pemilik ternakan, Abu Shah Hashim, 57, yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Abu berkata, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sejak 20 tahun dia mengusahakan penternakan.

Katanya, anak kambing berkepala dua itu bagaimanapun lahir dalam keadaan lemah.

“Saya ada lebih kurang 20 ekor kambing, kambing ini merupakan baka Black Belly dan dilahirkan oleh induk yang sudah beberapa kali melahirkan anak sebelum ini.

“Selalunya, kambing betina ini akan lahirkan dua ekor anak tetapi kali ini cuma seekor sahaja namun ia berkepala dua. Ini kali pertama berlaku sepanjang saya menternak kambing,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya semalam.

Tambahnya, kejadian luar biasa itu disedarinya awal pagi semalam ketika memeriksa kandang.

“Saya nampak kepala dia ada dua, memang sangat terkejut. Saya harap anak kambing ni panjang umur, namun apa-apa pun saya anggap ini sebagai kebesaran Allah SWT. Semua ini berlaku atas kehendak-Nya,” katanya lagi. – https://amiminerals.org/