PETALING JAYA – Sebanyak 10 kertas siasatan dibuka bagi tempoh tahun 2023 hingga April 2025 berkaitan penyeludupan hidupan liar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan spesies eksotik atau tempatan seperti kura-kura, ular, burung dan primat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagi memperkukuh tindakan di seluruh negara, kementeriannya menggiatkan kerjasama strategik di bawah Malaysia Wildlife Enforcement Network (MY-WEN) dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain.
Katanya, pendekatan bersepadu itu membolehkan operasi pencegahan, siasatan, dan pendakwaan dijalankan dengan lebih berkesan.
“Hasil mesyuarat penyelarasan bersama agensi penguatkuasaan berkaitan pada 18 April 2024, jabatan dan agensi yang terlibat bersetuju terus meningkatkan keberkesanan aktiviti kawalan dan operasi penguatkuasaan khususnya di lapangan terbang antarabangsa serta satu Nota Jemaah Menteri akan disediakan oleh NRES berhubung isu
ini.
“Selain itu, kerjasama di peringkat antarabangsa turut diperkukuhkan untuk memerangi perdagangan haram hidupan liar rentas sempadan yang didalangi sindiket jenayah terancang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, NRES mengingatkan bahawa mana-mana individu atau sindiket yang didapati terlibat dalam penyeludupan hidupan liar akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta
716).
“Itu termasuk denda sehingga RM1 juta atau hukuman penjara maksimum 15 tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Sebagai sebuah negara megabiodiversiti, Malaysia kekal komited untuk melindungi khazanah alam semula jadi demi keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan generasi masa depan,” katanya.
Katanya, NRES juga menyeru masyarakat untuk bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan hidupan liar melalui Hotline Jabatan PERHILITAN di talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.